Warga emas, OKU diselamatkan dalam dua kejadian banjir di Lahad Datu

LAHAD DATU: Dua individu termasuk seorang lelaki warga emas dan seorang orang kurang upaya (OKU) berjaya diselamatkan Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam dua kejadian berasingan akibat banjir di daerah ini, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, kejadian pertama membabitkan seorang lelaki warga emas yang terperangkap di kawasan banjir di Kampung Wawasan 2.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 4.01 petang sebelum menggerakkan sepasukan 10 anggota bersama beberapa jentera ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai.

“Setibanya pasukan di lokasi, didapati seorang lelaki warga emas terperangkap di kawasan yang dinaiki air akibat banjir.

"Pasukan operasi bertindak pantas dan berhati-hati bagi memastikan keselamatan mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sumsoa berkata, mangsa, Mohd Tahir Sappelani, 72, berjaya dikeluarkan dengan selamat menggunakan tali penyelamat sebelum diserahkan kepada pihak keluarga.

“Operasi menyelamat berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.30 petang dan ditamatkan kira-kira 5.46 petang selepas memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi kejadian,” katanya.

Dalam kejadian berasingan pada hari sama, beliau berkata, seorang mangsa lumpuh turut berjaya dipindahkan ke tempat selamat selepas terperangkap di dalam rumah akibat banjir di Kampung Indah Jaya, di sini.

Katanya, panggilan kecemasan diterima pada jam 3.45 petang sebelum sepasukan 10 anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai.

“Pasukan tiba di lokasi pada jam 3.50 petang dan mendapati seorang mangsa lumpuh terperangkap di dalam rumah yang dinaiki air. 

"Komander Operasi melakukan penilaian awal sebelum mangsa dipindahkan menggunakan pengusung (stretcher) ke rumah ahli keluarga di kawasan selamat,” katanya.

Menurutnya, mangsa diserahkan kepada pihak keluarga selepas dipastikan berada dalam keadaan stabil.

“Operasi berjaya dikawal pada jam 3.55 petang dan ditamatkan sepenuhnya tiga minit kemudian selepas memastikan keadaan benar-benar selamat,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama