Sook, Sipitang, Beaufort daerah terbaharu diisytihar bencana banjir

KOTA KINABALU: Tiga daerah iaitu Sook, Sipitang dan Beaufort menjadi daerah terbaharu yang diisytiharkan dilanda bencana banjir susulan keadaan cuaca buruk yang berterusan di Sabah. 

Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sook, Caroline Benjamin Jiungan turut mengisytiharkan pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan SLDB Dalit Gana pada jam 4.30 pagi tadi. 

“PPS berkenaan diaktifkan selepas pemeriksaan mendapati kawasan serta kediaman Penduduk Terjejas Bencana (PTB) tidak lagi selamat untuk didiami,” katanya dalam satu kenyataan APM Sabah, hari ini. 

Sementara itu, Pegawai Daerah merangkap Pengerusi JPBD Sipitang, Abd Karim Zahari, mengisytiharkan berlakunya bencana banjir pada jam 6.00 pagi berdasarkan laporan serta maklumat di lapangan daripada agensi-agensi berkaitan.

“Saya selaku pengerusi JPBD Sipitang dengan ini mengisytiharkan bahawa PPS Dewan SK Padang Berampah telah diaktifkan,” jelasnya. 

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Beaufort merangkap Pengerusi JPBD Beaufort, Mohd Nazri Ajun, turut mengisytiharkan bencana banjir di daerah itu hari ini.

Beliau turut memaklumkan Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon diaktifkan pada jam 8.00 pagi selepas pemeriksaan mendapati rumah penduduk yang terjejas tidak selamat untuk diduduki.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama