Zizie Izette mohon gugurkan tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta

KUALA LUMPUR: Balu Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, memohon agar tiga pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah RM2.8 juta yang dihadapinya digugurkan selepas mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Peguam bela bekas pelakon itu, Datuk Seri K Kumaraendran, mengesahkan representasi berkenaan dihantar pada 24 Disember tahun lalu bagi memohon ketiga-tiga pertuduhan bersubahat berkenaan digugurkan.

Menurutnya, Mahkamah Sesyen akan dimaklumkan mengenai status representasi itu pada 16 Januari ini, termasuk perkembangan kes membabitkan Allahyarham Bung Moktar Radin yang meninggal dunia pada 5 Disember lalu.

Susulan permohonan itu, pihak pembelaan turut memohon tarikh perbicaraan bela diri Zizie Izette selama tiga hari yang dijadualkan bermula hari ini dilapangkan sementara menunggu keputusan AGC.

Mahkamah Sesyen melalui surat bertarikh 5 Januari lalu membenarkan permohonan berkenaan dan menetapkan 16 Januari ini bagi prosiding pendakwaan memaklumkan perkembangan terkini kepada mahkamah mengenai representasi terbabit.

Untuk rekod, Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad, berkaitan kelulusan agensi itu melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta serta dua lagi suapan berjumlah RM262,500 dan RM337,500 melalui akaun pelaburan atas namanya sebagai upah mendapatkan kelulusan pelaburan tersebut.

Pada 2 September 2022, Mahkamah Sesyen memerintahkan pasangan itu membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada 7 September 2023 melepas dan membebaskan mereka sebelum keputusan itu dibatalkan Mahkamah Rayuan pada 18 November 2024 yang mengarahkan kedua-duanya kembali membela diri.

Usaha terakhir mencabar keputusan Mahkamah Rayuan turut gagal pada 22 Mei tahun lalu, dan kini Zizie Izette menunggu keputusan AGC berhubung permohonannya untuk menggugurkan pertuduhan tersebut.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama