KOTA KINABALU: Projek penyelidikan antarabangsa MyHero Project dilihat sebagai platform penting dalam usaha memperkukuh kesihatan mental remaja di Sabah melalui pendekatan berasaskan bukti dan penyelidikan.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, inisiatif MyHero yang memberi tumpuan kepada literasi kesihatan mental, pencegahan awal masalah psikososial serta pembangunan intervensi berasaskan sekolah selari dengan keutamaan Kerajaan Negeri Sabah dalam meningkatkan kesejahteraan golongan muda.
“Usaha berasaskan penyelidikan seperti MyHero amat signifikan kerana ia bukan sahaja mengenal pasti isu kesihatan mental dalam kalangan remaja berisiko, malah menyediakan asas kukuh untuk merangka dasar dan program intervensi yang lebih berkesan,” katanya.
Julita berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat pasukan penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersempena pelaksanaan MyHero Project di Sabah, hari ini.
Kunjungan itu diketuai Ketua Projek, Prof Dr Cecilia A. Essau dari University of Roehampton, London, yang juga Profesor Pelawat di Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial UMS. Turut hadir Dr Suwaibah Zakaria selaku Ahli Penyelidik UMS serta beberapa konsultan projek.
Dalam sesi pertemuan, pasukan penyelidik membentangkan latar belakang MyHero Project, dapatan awal kajian serta perancangan pelaksanaan penyelidikan di peringkat negeri Sabah, termasuk potensi kerjasama strategik dengan kementerian.
Difahamkan, MyHero Project menerima geran antarabangsa daripada Kavli Trust, Norway dan melibatkan kerjasama UMS, University of Roehampton serta enam universiti tempatan dan antarabangsa lain.
Julita berharap MyHero dapat menjadi rujukan utama dalam memperkukuh dasar, program dan intervensi kesihatan mental di Sabah agar lebih menyeluruh, berkesan serta berteraskan bukti saintifik.
