Kerjasama KPSTI Sabah dan Kementerian Komunikasi pacu internet sekolah, Digital Smart Lab dan keselamatan remaja

PUTRAJAYA: Kerajaan Negeri Sabah komited memperkukuh kerjasama strategik dengan Kementerian Komunikasi bagi mempercepat agenda pendigitalan pendidikan serta meningkatkan tahap keselamatan digital dalam kalangan remaja di negeri ini.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, berkata kerjasama itu penting bagi memastikan keterangkuman digital dapat dilaksanakan secara menyeluruh termasuk di kawasan luar bandar, pedalaman dan pulau.

“Portfolio pendidikan, sains, teknologi dan inovasi di Sabah sangat bergantung kepada infrastruktur komunikasi yang stabil dan berkualiti. Sabah mempunyai cabaran geografi yang luas, jadi pendekatan dasar perlu lebih disesuaikan serta berimpak tinggi,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din (kiri). 

James turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atas usaha meningkatkan kesalinghubungan digital melalui pelaksanaan JENDELA Fasa 1 serta peruntukan melebihi RM2 bilion di bawah Belanjawan 2026 bagi memperkukuh infrastruktur digital di Sabah.

Katanya, KPSTI Sabah menyambut baik pelaksanaan JENDELA Fasa 2 yang memberi tumpuan kepada kawasan belum diliputi rangkaian, khususnya di pedalaman.

“Sabah mencadangkan sekolah dijadikan nod keutamaan pelaksanaan, termasuk penyambungan gentian optik terus ke premis sekolah serta penggunaan teknologi satelit di kawasan sukar dicapai,” jelasnya. 

KPSTI Sabah juga akan melaksanakan kesediaan untuk menjadi pemudah cara dalam urusan perolehan tanah dan kelulusan pihak berkuasa tempatan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur digital.

Dalam pada itu, James turut mencadangkan agar penggunaan Dana Universal Service Provision (USP)diperluaskan bukan sahaja kepada pembinaan menara telekomunikasi, tetapi menyokong ekosistem pembelajaran digital dalam sekolah.

“Penubuhan Digital Smart Lab di sekolah terpilih, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, bagi menyokong pembelajaran STEM, TVET, AI asas dan keselamatan siber.

“Kami mahu pastikan pendigitalan bukan hanya pada capaian internet, tetapi juga pada kandungan dan kemudahan pembelajaran digital di dalam bilik darjah,” ujar beliau. 

Beliau berkata, isu keselamatan digital dalam kalangan remaja turut diberi perhatian, termasuk cadangan pengurangan penggunaan telefon bimbit bagi remaja bawah 16 tahun.

“Langkah ini penting bagi membanteras jenayah seksual dalam talian termasuk kes pedofilia, selain melindungi kesejahteraan dan perkembangan sahsiah remaja,” katanya.

KPSTI Sabah turut mencadangkan satu kerangka kerjasama rasmi melibatkan Kementerian Komunikasi, MCMC, KPSTI dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bagi melaksanakan pendekatan whole-of-government dalam pendigitalan pendidikan di negeri ini.

“Kami yakin kerjasama erat ini mampu menjadi model nasional bagi pendigitalan pendidikan di negeri bergeografi mencabar seperti Sabah, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama