![]() |
| NC, Datuk Dr. Kasim ketika berucap pada majlis Penjemaan Semula Institut Penyelidikan Marin Borneo, di sini. |
Naib Canselor UMS, Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, transformasi berkenaan sekali gus melancarkan dua pusat penyelidikan baharu, iaitu Pusat Penyelidikan Oseanografi dan Pusat Penyelidikan Akuakultur.
“Sabah merupakan wilayah maritim yang memainkan peranan penting dalam kelestarian alam, ekonomi pesisir dan sumber makanan laut negara.
“Dalam berdepan cabaran global seperti perubahan iklim dan kemerosotan ekosistem, penyelidikan marin kini berada di barisan hadapan sebagai pemacu penyelesaian berasaskan sains,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis perasmian Penjenamaan Semula IPMB bertempat di Akuarium dan Muzium Marin UMS, hari ini.
Katanya, UMS melalui IPMB mempunyai kedudukan strategik untuk menerajui penyelidikan tersebut, sejajar dengan kekuatan geografi, kepakaran sedia ada serta jaringan kerjasama yang semakin meluas.
Menurut beliau, transformasi IPMB dan penubuhan dua pusat penyelidikan itu selari dengan hala tuju Kementerian Pendidikan Tinggi, Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ), agenda kementerian berkaitan perikanan dan alam sekitar, serta aspirasi ekonomi biru Malaysia.
“Penyelidikan akuakultur akan membantu negara meningkatkan kapasiti makanan laut secara lestari dan kompetitif, manakala penyelidikan oseanografi akan menyediakan maklumat saintifik penting untuk pengurusan ekosistem marin dan mitigasi bencana,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa UMS tidak boleh beroperasi secara solo dan perlu terus memikul tanggungjawab sosial dalam memperkasa komuniti pesisir melalui pendidikan, pemindahan teknologi serta program peningkatan sosioekonomi.
“ IPMB mempunyai potensi besar untuk menjadi hab kecemerlangan marin tropika yang bertaraf antarabangsa, bukan sahaja dalam penyelidikan, tetapi juga dalam membimbing dasar, membangunkan industri dan memperkasa komuniti,” tambahnya.
.png)