Papar tuan rumah pelancaran Pesta Kaamatan Sabah 2026

KOTA KINABALU: Daerah Papar dipilih sebagai tuan rumah Pelancaran Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 1 Mei depan.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Pertama Perayaan Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah (KKRU), Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, hari ini.

Mesyuarat berkenaan bertujuan membincangkan persiapan serta perancangan awal penganjuran perayaan tahunan terbesar di Sabah itu yang lazimnya disambut sepanjang bulan Mei.

Dr Joachim berkata, pemilihan Papar sebagai lokasi pelancaran mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan penganjuran Kaamatan terus melibatkan daerah-daerah di seluruh Sabah secara inklusif.

“Perayaan Kaamatan merupakan platform penting untuk memelihara warisan budaya Sabah, di samping mengukuhkan perpaduan serta semangat komuniti dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, Kaamatan bukan sahaja meraikan hasil tuaian, malah menjadi simbol keharmonian, kekayaan budaya serta adat resam masyarakat Sabah yang diwarisi turun-temurun dan terus dipertahankan dari generasi ke generasi.

“Perayaan itu turut menekankan nilai perpaduan dan kebersamaan rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang, selari dengan aspirasi kerajaan negeri dalam memupuk keharmonian sosial.

“Perancangan rapi dan kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Papar dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi impak positif kepada rakyat serta industri pelancongan negeri,” katanya.

Turut hadir, Pembantu Menteri KKRU I, Datuk Limus Jury; Setiausaha Tetap KKRU, Datuk Ridhwan Roger Linus; Setiausaha Agung Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Datuk Suman Yasambun dan Bendahari KDCA, Datuk Joseph Paulus Lantip.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama