Tun Musa terima kunjungan Mustapha, terima taklimat ringkas MA63

Tun Musa terima kunjungan Mustapha, terima taklimat ringkas MA63.

KOTA KINABALU:  Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menerima kunjungan hormat  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.

Menurut Mustapha, kunjungan itu bertujuan mendapatkan pandangan berhubung keutamaan pelaksanaan dan perancangan isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di peringkat negeri.  

“Antara yang dibincangkan ialah bagaimana mahu merealisasikan formula 40 peratus dan berapa juga nilainya nanti akan digunakan untuk menyelesaikan masalah tiga serangkai yang ada di negeri Sabah iaitu masalah jalan, air dan elektrik.

"Bagi saya ini adalah keutamaan dan orang-orang Sabah ingin mengetahui apa sebenarnya status perundingan tersebut. Saya akan membuat tindakan susulan untuk pastikan isu-isu ini dapat dirundingkan dengan baik,” katanya kepada media selepas kunjungan tersebut.

Selain itu, kunjungan itu turut memberi peluang kepada Mustapha memperkenalkan diri sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) yang baharu serta menyampaikan taklimat ringkas tentan perkembangan rundingan MA63.  

Hadir sama, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab; Setiausaha Politik, Ahmad Nazib Johari; Setiausaha Bahagian, Mohd Saiful Sungkih Abdullah dan Setiausaha Sulit Kanan, Khairul Iswadi Ishak.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama