![]() |
| Mustapa ketika ditemui media. |
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan komited mempercepatkan penyelesaian beberapa perkara tertangguh berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menerusi tindakan susulan berperingkat yang dipantau secara langsung di peringkat kementerian sehingga ke Jawatankuasa Utama MA63.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapa Sakmud berkata beliau diberi mandat khusus untuk memastikan perkara-perkara yang belum diselesaikan ditangani secara menyeluruh melalui tiga peringkat perbincangan yang telah ditetapkan.
“Peringkat pertama melibatkan penyelarasan yang akan saya ketuai sendiri. Mana-mana isu yang tidak dapat diselesaikan di peringkat ini akan diangkat ke Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Sekiranya masih memerlukan keputusan di peringkat lebih tinggi, perkara tersebut akan diangkat ke Jawatankuasa Utama MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dengan kehadiran Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Sabah 2026 di SMK Bandaraya, pada Selasa.
Menurut beliau, segala pandangan dan cadangan yang diterima daripada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak akan diperhalusi bagi memperkukuh sesi libat urus bersama agensi berkaitan.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Fadillah Yusof atas usaha berterusan sebelum ini, sambil menegaskan mandat baharu yang diterimanya adalah untuk menyusuli baki perkara MA63 yang masih belum dimuktamadkan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan dashboard MA63 yang memaparkan status terkini tuntutan dan pencapaian rundingan akan dilancarkan di laman web Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) penghujung bulan ini.
“Melalui dashboard ini, rakyat dapat mengetahui perkara yang telah diselesaikan dan masih dalam perbincangan sekali gus mengelakkan kekeliruan akibat maklumat tidak sahih,” ujarnya.
Mengulas mengenai program berkenaan, Mustapa berkata RM409,500 Bantuan Awal Persekolahan 2026 disalurkan kepada SMK Bandaraya bagi pemberian RM150 kepada setiap pelajar, sambil berharap ibu bapa memastikan bantuan tersebut digunakan khusus untuk keperluan pendidikan anak-anak.
Hadir sama, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Mohd Razali Wahab; Pegawai Pembangunan Negeri Sabah Datuk Samsul Dollah; Timbalan Pengarah Pendidikan Muddin Beting dan Pengetua SMK Bandaraya, Rohani Ramlee.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
