Sabah usaha dapatkan kelulusan 45 ribu komputer riba dipohon untuk sekolah - James Ratib

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan berusaha mendapatkan kelulusan bagi kesemua 45,000 permohonan komputer riba yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk kegunaan sekolah di seluruh negeri.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, berkata inisiatif itu melibatkan peringkat prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah, dengan komputer riba akan ditempatkan di sekolah serta diuruskan secara berpusat melalui kemudahan seperti bilik sumber bagi memastikan penggunaan yang berkesan dan adil.

“MCMC juga akan membekalkan papan pintar (smart board) bagi menyokong pembelajaran digital di dalam bilik darjah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Tindakan Bantuan Komputer Riba, Starlink dan Panel Solar bagi Sekolah Rendah dan Menengah di Negeri Sabah, di sini, pada Rabu.

James berkata Sabah memiliki kira-kira 1,300 buah sekolah, dan sasaran jangka panjang kementerian adalah melengkapkan bilik darjah dengan papan pintar secara berperingkat. 

Beliau turut menambah bahawa MCMC akan menyediakan sambungan internet satelit Starlink kepada 68 buah sekolah yang masih belum mempunyai capaian internet, di samping membekalkan sistem tenaga solar kepada sekolah yang tidak mempunyai bekalan elektrik.

“Kita mahu memastikan Sabah tidak ketinggalan jauh dari segi pembangunan teknologi, termasuk teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), berbanding negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan Sarawak,” jelasnya. 

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah akan menyelaras dan merumuskan hasil perbincangan sebelum satu permohonan rasmi dikemukakan kepada Menteri MCMC untuk pertimbangan dan kelulusan.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa  permohonan sebanyak 45,000 unit itu adalah berdasarkan keperluan yang dikenal pasti oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan tertakluk kepada kelulusan MCMC.

“Setakat ini, anggaran kos keseluruhan inisiatif itu masih belum dimuktamadkan, namun menyifatkannya sebagai sumbangan besar MCMC kepada pembangunan sektor pendidikan Sabah,” ujar beliau. 

Sementara itu, berhubung perjalanan pelajar Sabah ke Semenanjung Malaysia bagi melanjutkan pengajian, James berkata Dana Pendidikan Negeri Sabah akan terus membantu pelajar yang layak.

“Cadangan diskaun tambang penerbangan bersama syarikat penerbangan sedang dibincangkan oleh agensi berkaitan,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama