Tukang cat naik angin, cederakan dan ugut bunuh bawa padah

TAWAU: Tindakan seorang tukang cat warga asing yang hilang pertimbangan apabila mencederakan serta mengugut bunuh seorang lelaki tempatan September lalu akhirnya diberkas polis di Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas, di sini, semalam. 

Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam apabila mangsa berusia 30 tahun didatangi suspek yang tidak dikenali untuk bertanyakan mengenai individu yang didakwa memujuk adiknya.

“Tanpa amaran, suspek bertindak agresif dengan menendang betis kanan mangsa sebelum melibas objek tajam ke arah mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian dada kanan, selain mengeluarkan ugutan bunuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, susulan laporan diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek berusia lingkungan 20-an kira-kira jam 6 petang, semalam. 

“Suspek yang bekerja sebagai tukang cat ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Air, Batu 4, Jalan Apas,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

"Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana dipercayai berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.

"Orang ramai diingatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri di luar batas undang-undang dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara," katanya


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama