PUTATAN: Seorang lelaki maut manakala lima lagi cedera, termasuk empat parah, dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Pantai Lok Kawi–Kinarut, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noor Sherriyana Bohari, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.04 pagi, sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Putatan tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian.
Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah Proton Iswara dan Mitsubishi Triton yang bertembung, menyebabkan Proton Iswara tercampak ke dalam parit manakala Mitsubishi Triton terbalik.
“Seorang mangsa lelaki berusia 21 tahun yang berada di Proton Iswara tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Empat lagi mangsa dari kenderaan sama tercampak ke dalam parit dan mengalami kecederaan parah sebelum dibantu pasukan bomba dan diserahkan kepada pihak KKM untuk dihantar ke hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Sherriyana berkata, pemandu Mitsubishi Triton berusia 35 tahun dilaporkan selamat tanpa kecederaan, manakala seorang penumpang wanita berusia lingkungan 30-an cedera.
“Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM, APM dan EMRS Bomba untuk rawatan lanjut. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.44 pagi,” katanya.


