Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim berkata istilah ‘bukan warganegara’ tidak boleh disamakan dengan pendatang haram (illegal) kerana ia turut merangkumi Pendatang Asing Dengan Izin (PADI) seperti pekerja asing berpermit sah, pemegang pas kerja sementara, pelajar serta tanggungan.
“Secara fakta, PADI membentuk majoriti kumpulan bukan warganegara, manakala PATI hanyalah sebahagian kecil.
"Gambaran yang dibuat seolah-olah keseluruhan peningkatan itu berpunca daripada PATI adalah tidak tepat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, peningkatan angka bukan warganegara turut dipengaruhi pemulihan pasca COVID-19, migrasi ekonomi ke bandar utama seperti Kota Kinabalu, serta pelaksanaan Pendataan Digital Warga Asing di Sabah sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, pendataan berkenaan tidak mewujudkan kemasukan baharu, sebaliknya mendedahkan jumlah sebenar pekerja asing sedia ada yang sebelum ini tidak direkod secara telus.
“Cubaan memutarbelit data jelas menunjukkan usaha menutup rekod lama pentadbiran terdahulu dalam isu PATI.
"Rakyat Sabah tidak memerlukan tajuk sensasi, sebaliknya penjelasan berfakta dan penyelesaian sebenar,” katanya.
Azrul berkata, Pemuda Gagasan Rakyat kekal konsisten bahawa isu keselamatan dan kedaulatan negeri mesti ditangani melalui data tepat, penguatkuasaan berkesan serta dasar bertanggungjawab, bukan permainan persepsi politik.
Terdahulu, akhbar Daily Express hari ini melaporkan empat ADUN Warisan menuntut penjelasan pihak berkuasa berhubung peningkatan mendadak jumlah penduduk bukan warganegara di Kota Kinabalu yang kini mencecah 125,400 orang.
ADUN Api-Api, Loi Kok Liang; ADUN Luyang, Samuel Wong; ADUN Inanam, Edna Majimbun dan ADUN Kapayan, Chin Tek Ming mendakwa peningkatan itu bercanggah dengan dasar kerajaan untuk mengurangkan jumlah warga asing dan bukan warganegara di Sabah.
Mereka merujuk statistik dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 24 Disember lalu yang menunjukkan populasi bukan warganegara di Kota Kinabalu meningkat 5,300 orang atau 58.5 peratus berbanding 2021, dengan lonjakan ketara pada 2024.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini memaklumkan seramai 113,282 warga asing yang bekerja dalam sektor perladangan di Sabah sudah berdaftar dalam sistem pendataan digital berpusat setakat ini.
Beliau berkata, proses pendataan yang dilaksanakan kerajaan negeri bertujuan memudahkan pemantauan, pengesanan dan pengurusan warga asing secara masa nyata di Sabah.
“Aktiviti pendataan digital warga asing ini tidak ada kena mengena dengan isu kewarganegaraan atau pemberian status pemastautin tetap," katanya.
