SEMPORNA: Seorang wanita ditemukan rentung selepas tujuh rumah setinggan musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Perigi, di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Rastam Keladi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.12 pagi sebelum sembilan anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira satu kilometer dari balai.
“Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 11.16 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan tujuh buah rumah setinggan jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 55 x 100 kaki, dengan keseluruhan kawasan terbakar 100 peratus.
"Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 100 kaki dengan dua pancutan, bersumberkan air dari tangki jentera," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, operasi berjaya dikawal pada jam 11.57 pagi. Bagaimanapun, seorang mangsa ditemui dalam keadaan rentung di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa, Munairaya Baluan, berusia 58 tahun itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Rastam berkata, kerja-kerja overhaul masih dijalankan bagi memastikan tiada punca api berulang selain siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.
“Maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.
.jpeg)
