Pasangan warga emas rentung dalam kebakaran di Kudat

KUDAT: Sepasang suami isteri warga emas ditemukan rentung selepas rumah didiami mereka musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Lausan Batu 4, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Darikson Galanang, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.58 malam sebelum jentera tiba di lokasi kira-kira jam 12.36 tengah malam.

“Setibanya di lokasi, kebakaran didapati melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal dua tingkat berkeluasan kira-kira 30 x 40 kaki yang terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurutnya, operasi pemadaman berdepan kesukaran berikutan laluan sempit termasuk jambatan kecil serta halangan wayar elektrik rendah yang menyukarkan pergerakan jentera ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki dengan dua pancutan, menggunakan bekalan air daripada tangki jentera bomba.

“Dua mangsa, masing-masing lelaki berusia 74 tahun dan wanita 73 tahun, ditemukan rentung di bahagian bilik tidur rumah berkenaan kira-kira jam 1 pagi,” katanya.

Beliau berkata, operasi berjaya dikawal pada jam 1.30 pagi sebelum mangsa pertama dikeluarkan pada jam 2 pagi dan mangsa kedua pada jam 3.50 pagi.

“Kedua-dua mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.47 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama