![]() |
| Lifred (empat dari kiri) bergambar kenangan selepas acara memperingati mangsa perang, di sini, hari ini. |
Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Sr. Lifred Wong berkata, kawasan tersebut sering berdepan masalah banjir dan kekurangan kemudahan, namun kerja naik taraf telah menjadikan tapak berkenaan lebih selesa dan mesra pelawat.
“Tempat ini sudah dinaik taraf melalui peruntukan kerajaan negeri kepada Kementerian Pelancongan dan kita akan terus menambah baik fasiliti sedia ada, termasuk laluan pejalan kaki dan kemudahan tandas bagi menampung peningkatan jumlah pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri acara memperingati mangsa perang di Petagas, di sini, hari ini.
Acara berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Joachim Gunsalam mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Beliau yang mewakili Mayor DBKK turut menjelaskan bahawa lokasi tersebut bukan sahaja penting sebagai tapak memperingati mangsa perang, malah berperanan mendidik generasi muda mengenai sejarah perjuangan.
“Sejarah ini penting untuk difahami dan dihargai, khususnya oleh golongan muda, kerana tanpa mengenali akar umbi kita, sukar untuk kita melangkah ke hadapan dengan lebih baik,” jelasnya.
Tambahnya, kerajaan negeri komited memastikan tapak bersejarah itu terus dipelihara dan dipromosikan sebagai produk pelancongan berasaskan warisan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sektor pelancongan negeri.
Seramai 400 peserta melibatkan 11 pasukan yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM Sabah), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia Kontinjen Sabah, Tentera Udara Malaysia (TUDM), Pasukan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Sabah hadir bagi memperingati mangsa perang.
