KOTA KINABALU: Pegawai Daerah di Sabah disaran memperkukuh
kefahaman terhadap bidang kuasa Mahkamah Anak Negeri (MAN) bagi memastikan
setiap keputusan yang dibuat adalah sah, adil dan berintegriti.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr
Arifin Mohd Arif berkata peranan Pegawai Daerah sebagai hakim Mahkamah Anak
Negeri Daerah (MAND) amat signifikan khususnya dalam mengendalikan kes
berkaitan undang-undang adat serta kepentingan masyarakat setempat.
Beliau menegaskan, kefahaman yang jelas terhadap bidang
kuasa MAN adalah keperluan asas bagi mengelakkan kesilapan prosedur yang boleh
menjejaskan kesahihan sesuatu keputusan.
“Peranan ini menuntut pemahaman menyeluruh terhadap bidang
kuasa, pematuhan prosedur serta keupayaan menjunjung prinsip keadilan dan
integriti yang tinggi dalam setiap keputusan yang dibuat.
“Kefahaman yang tepat amat penting bagi memastikan setiap
keputusan kehakiman dibuat berlandaskan peruntukan undang-undang dan tidak
terdedah kepada kecacatan prosedur,” ujarnya semasa Majlis Perasmian Penutupan
Bengkel Kehakiman Mahkamah Anak Negeri Sabah Siri 1/2026, pada Selasa.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Tetap
Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Jamili Nais.
Menurut Arifin, bengkel berkenaan memberi pendedahan lebih
jelas kepada Pegawai Daerah mengenai tanggungjawab serta had kuasa dalam
mengendalikan kes di MAN, di samping meningkatkan kemahiran penulisan
penghakiman yang jelas, tepat dan berstruktur.
"Penulisan penghakiman yang baik bukan sahaja
mencerminkan kewibawaan institusi kehakiman, malah membantu pihak-pihak
berkepentingan memahami asas dan rasional sesuatu keputusan seterusnya
mengurangkan risiko aduan serta rayuan.
"Sebagai hakim MAN, Pegawai Daerah hendaklah sentiasa
bertindak berlandaskan prinsip keadilan, kesaksamaan, ketelusan dan
akauntabiliti supaya kepercayaan masyarakat terhadap institusi kehakiman itu
terus dipelihara," ujarnya.
Beliau juga menegaskan keperluan penyeragaman pengetahuan
dan amalan kehakiman di seluruh daerah di Sabah bagi memastikan pendekatan yang
lebih konsisten, adil dan berintegriti.
“Pegawai Daerah sebagai hakim MAN hendaklah sentiasa
bertindak berlandaskan prinsip keadilan, ketelusan dan akauntabiliti demi
kepentingan rakyat dan Kerajaan Negeri,” katanya.
Bengkel anjuran Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS)
melalui Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) itu disertai 40 Pegawai
Daerah dari seluruh Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Majlis
Perbandaran.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar
Bandar Sabah, Datuk Myrna Jimenez; Pengarah JHEANS, Nordin Lossin dan Timbalan
Pengarah Dasar dan Operasi JHEANS, Noorfaridah Othman.
