TENOM: Seorang pemandu lori muatan bibit sawit maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sendiri di Kampung Pamilan Batu 15.5, Jalan Tenom - Keningau, di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Mudi Pengiran, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 2.42 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira 26 kilometer.
Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah lori 10 tan yang membawa muatan bibit sawit dan dipercayai terbabas sendiri ke tepi jalan.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 3.06 petang, didapati seorang mangsa lelaki berusia 38 tahun tersepit di bahagian belakang kanan tayar lori.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai cuba terjun keluar dari lori sebelum kenderaan itu terbabas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, kerja-kerja mengeluarkan mangsa dilakukan oleh lima anggota bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan bantuan sebuah jentera berat jenis excavator.
“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Operasi ditamatkan pada jam 4.24 petang selepas memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada bahaya lain,” katanya.

