TMM2026: Sabah sasar ketibaan 4 juta pelancong

KOTA KINABALU: Sabah menyasarkan kehadiran seramai empat juta pelancong dari dalam dan luar negara pada tahun ini susulan pelancaran acara simbolik sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang diadakan serentak di seluruh negara.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, Sabah merupakan antara lima pintu masuk utama pelancong ke negara ini, dengan Kota Kinabalu menjadi salah satu lokasi penerimaan simbolik pelancong.

Beliau berkata, sasaran berkenaan dibuat berdasarkan prestasi positif tahun lalu apabila Sabah berjaya merekodkan lebih 3.6 juta pelawat, melepasi sasaran awal sebanyak 3.5 juta, berdasarkan perangkaan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Dengan kekuatan Sabah yang tersendiri termasuk keindahan alam semula jadi, lautan yang luas, hutan belantara serta gunung-ganang, saya yakin sasaran empat juta pelancong mampu dicapai tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyambut ketibaan para pelancong dan warga tempatan sempena pelancaran rasmi VM2026 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, hari ini. 

Menurutnya, Sabah juga memiliki kelebihan besar melalui beberapa tapak yang menerima pengiktirafan UNESCO termasuk Gunung Kinabalu, Banjaran Crocker serta Sukau. 

“Sabah juga menerima pengiktirafan dunia yang berpotensi menggamit kehadiran pelancong, di samping keindahan lautan yang bersih dan terpelihara di perairan Semporna. Kesemua ini menjadi faktor utama yang menjadikan Sabah destinasi pilihan pelancong,” jelasnya.

Mengulas soal keselamatan, beliau menegaskan kerajaan negeri memandang serius aspek tersebut dan akan terus menambah baik prosedur operasi standard (SOP) serta kemudahan asas bagi memastikan keselamatan pelancong sentiasa terjamin.

“Kehadiran pelancong bukan sahaja bergantung kepada keindahan alam, tetapi juga tahap keselamatan yang diyakini. Ini menjadi keutamaan kerajaan negeri,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama