Kerajaan lancar dashboard MA63 tingkat ketelusan pelaksanaan

 

PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan akan melancarkan Dashboard Status Terkini Perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang boleh diakses orang ramai hujung bulan ini bagi meningkatkan ketelusan serta akses maklumat, khususnya berkaitan tuntutan hak 40 peratus Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata pembangunan dashboard itu dipersetujui oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof, menerusi Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS), Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata, platform berkenaan dijangka boleh diakses melalui Portal Rasmi BHESS JPM pada hujung Januari ini, sekali gus membolehkan orang ramai mengikuti perkembangan pelaksanaan perkara di bawah MA63 secara lebih telus.

“Langkah ini selaras dengan komitmen Kerajaan Madani untuk memperkukuh tadbir urus serta memastikan pelaksanaan MA63 dapat dipantau dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan sempena Perutusan Tahun Baharu 2026.

Mustapha berkata, usaha memperkasa rundingan MA63 terus dipacu melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala Jawatankuasa Teknikalnya dipengerusikan Fadillah.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 29 perkara MA63 sudah dibincangkan melalui MTPMA63, dengan 13 perkara berjaya diselesaikan, termasuk sembilan di bawah pentadbiran Kerajaan Madani dan empat di bawah kerajaan terdahulu.

“Pencapaian ini adalah yang terbaik berbanding pentadbiran sebelum ini dalam menguruskan pelaksanaan MA63,” katanya.

Beliau berkata, baki 16 perkara masih dirunding secara berterusan antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan Sabah dan Sarawak menerusi MTPMA63.

Dalam perkembangan berkaitan, Mustapha berkata, BHESS akan meneruskan sesi libat urus bersama kementerian dan agensi berkaitan, pihak industri, akademia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memperkukuh pelaksanaan MA63.

Katanya, kerajaan kekal komited memelihara hak, kepentingan dan kemajuan Sabah serta Sarawak selaras semangat MA63 demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama