![]() |
| Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah. |
TAWAU : Sepasang tunang maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah lori yang hilang kawalan dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 22 Jalan Apas–Balung, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, penunggang motosikal Mohd Saddam Patah Lajasan, 21, bersama tunangnya Siti Nurfazlia Muslimin,18, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah. Beliau berkata kemalangan berlaku apabila sebuah lori jenis Isuzu yang membawa muatan barangan runcit, dipandu lelaki berusia 33 tahun dari arah Batu 3 Jalan Apas menghala ke Balung, mengalami tayar hadapan kanan pecah ketika melalui laluan lurus lorong kanan di kawasan berkenaan.
“Akibat kejadian itu, lori terbabit terbabas ke kanan jalan dan merempuh sebatang pokok di pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah motosikal jenis Yamaha Y16ZR yang ditunggang pasangan terbabit dari arah Ladang Kalumpang menuju ke Bandar Tawau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jasmin berkata lori berkenaan kemudian menyeret motosikal bersama penunggangnya sejauh kira-kira satu meter sebelum melanggar bahagian hadapan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota dipandu seorang lelaki berusia 61 tahun.
Menurutnya, akibat perlanggaran itu, penunggang dan pembonceng motosikal tercampak ke bahu kiri jalan di kawasan rumput dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
“Pemandu lori mengalami kecederaan ringan manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Beliau berkata siasatan lanjut mendapati pemandu lori tidak memiliki lesen memandu yang sah dan telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian,” katanya.
Sehubungan itu, Jasmin mengingatkan semua majikan supaya memastikan hanya pemandu yang memiliki lesen memandu sah dibenarkan mengendalikan kenderaan, khususnya kenderaan komersial, bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat dan diselenggara dengan baik sebelum memulakan perjalanan.
