Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Azrul Ibrahim, berkata penegasan Baginda agar semua pihak kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia yang berteraskan perpaduan, saling menghormati dan kerjasama erat antara Sabah, Sarawak, Semenanjung serta Kerajaan Persekutuan adalah peringatan tepat pada masanya.
Menurutnya, Malaysia dibina atas semangat perkongsian, kepercayaan dan tanggungjawab bersama, bukannya perbezaan pandangan yang memisahkan.
“Sebagai anak muda Sabah, kami menuntut hak bukan untuk memecah-belahkan, tetapi bagi memperkukuh Persekutuan.
"Justeru, usaha menuntut dan menunaikan hak Sabah di bawah MA63, termasuk Pemberian Khas 40 peratus hasil negeri, perlu terus diperkasakan,” katanya dalam kenyataan media hari ini
Azrul berkata komitmen berterusan Kerajaan Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Kerajaan Persekutuan melalui pendekatan berunding, berfakta dan berlandaskan Perlembagaan telah membuahkan kemajuan yang signifikan.
Katanya, beberapa tuntutan MA63 sudah berjaya direalisasikan, manakala usaha melengkapkan tuntutan lain sedang diteruskan secara berperingkat dengan penuh kesepakatan.
“Ini membuktikan ketegasan tidak memerlukan retorika dan keberanian tidak menuntut hasutan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan titah Baginda supaya hak-hak negeri dihormati tanpa mengabaikan kepentingan Malaysia secara keseluruhan perlu difahami secara seimbang dan matang.
“Memperjuangkan hak Sabah bukan bermakna menafikan semangat Persekutuan. Sebaliknya, pembangunan Sabah yang adil dan bermaruah akan memperkukuh kemajuan, kestabilan serta perpaduan negara,” katanya.
Sehubungan itu, Azrul menyeru golongan muda agar menolak politik yang memperbesarkan perbezaan pandangan, sebaliknya mengutamakan politik solusi berasaskan kebijaksanaan, integriti dan rasa tanggungjawab.
“Seperti yang dititahkan Seri Paduka Baginda, setiap keputusan politik hari ini bukan sekadar pendirian parti, tetapi penentu masa depan negara,” katanya.
