BN Sabah ketuai penyelarasan Kerajaan Perpaduan di PRK Kinabatangan, Lamag



KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah memimpin usaha penyelarasan Kerajaan Perpaduan negeri bagi memastikan gerak kerja jentera serta strategi kempen diperkukuh menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag menerusi satu mesyuarat yang dilaksanakan, di sini, pada malam Isnin.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata pengukuhan perpaduan antara parti komponen Kerajaan Perpaduan amat penting untuk memastikan kestabilan politik dalam mentadbir negeri.

“Mesyuarat yang dihadiri wakil - wakil dari Kepimpinan Kerajaan Perpaduan itu mencerminkan kesepaduan dan komitmen bersama dalam memastikan kemenangan calon BN.

“Kestabilan politik dan keberkesanan pentadbiran negeri sangat bergantung kepada kesepakatan parti-parti komponen dalam membina dasar yang konsisten, menyeluruh dan berpandangan jauh demi kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Kerajaan Perpaduan Negeri Sabah yang bertempat di Rose Garden Magellan Resort. 

Hadir sama, wakil kepimpinan daripada BN, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) serta Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden GRS, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, atas sokongan padu terhadap usaha penyelarasan tersebut.

Beliau turut menegaskan bahawa PRK kali ini bukan sekadar pertandingan politik, sebaliknya melibatkan mandat rakyat dan kestabilan masa depan kawasan.

“Kita bergerak sebagai satu pasukan, satu suara dan satu matlamat untuk menang,” ujarnya.

Katanya, calon yang dipertaruhkan bagi memenangi kerusi pada PRK nanti ialah Mohd Kurniawan Naim bagi Parlimen Kinabatangan dan Mohd Ismail Ayob bagi DUN Lamag.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama