![]() |
| IHSAN: RTM |
Baginda bertitah, semua pihak perlulah kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia iaitu kepaduan, saling hormat-menghormati serta kerjasama erat antara negeri dan kerajaan Persekutuan.
“Beta menyeru agar semua pihak lebih berhati-hati supaya tidak menghasut sehingga mewujudkan ketegangan antara wilayah. Sebarang perbezaan pandangan hendaklah diselesaikan secara matang dan bukan menerusi kebencian atau syak wasangka,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian dalam Titah Diraja sempena pembukaan Sidang Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, hari ini.
Seri Paduka turut menegaskan bahawa hak-hak negeri perlu sentiasa dihormati, namun kepentingan Malaysia secara bersama hendaklah sentiasa diutamakan.
“Setiap pembahasan, keputusan dan undian yang dibuat di Dewan ini bukan hanya merupakan pendirian politik parti, tetapi bakal menentukan masa depan negara.
“Oleh itu, laksanakanlah tugas ini dengan penuh amanah, kebijaksanaan dan tanggungjawab demi kepentingan seluruh rakyat,” titah baginda.
Baginda turut mendoakan agar Malaysia terus maju dan makmur, aman dan tenteram, serta seluruh rakyatnya menikmati kehidupan yang bahagia dan sejahtera.
