![]() |
| Sumber gambar: Google |
LAHAD DATU: Perbuatan keji seorang lelaki yang tergamak merogol anak saudaranya sendiri, membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara 25 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Suhailla Selag menjatuhkan hukuman berkenaan selepas mahkamah berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan ke atas tertuduh berusia 41 tahun itu, yang didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
Ketika membacakan keputusan di akhir kes pembelaan, Suhailla berkata mahkamah setelah meneliti secara menyeluruh keterangan yang dikemukakan serta mempertimbangkan hujahan bertulis kedua-dua pihak, mendapati tertuduh bersalah dan seterusnya mensabitkannya atas pertuduhan berkenaan.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak saudaranya yang berusia 15 tahun (ketika kejadian) iaitu seorang kanak-kanak bawah umur yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya dan tidak dibenarkan berkahwin di bawah hukum agama.
Perbuatan itu di dakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Lormalong, Kunak, kira-kira jam 3 pagi pada Disember 2020.
Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 10 kali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Gani Zelika bersama Mohd Ridwan Usman.
Terdahulu Juhn Tao dalam hujahan mitigasinya berkata kesalahan dilakukan tertuduh amat serius kerana mangsa adalah seorang kanak-kanak bawah umur yang juga anak saudara tertuduh sendiri dan tinggal serumah.
Menurutnya, tertuduh berada dalam kedudukan kepercayaan sebagai penjaga namun telah mengkhianati amanah keluarga dan menyebabkan trauma fizikal serta emosi kepada mangsa.
Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 20 Ogos 2024, pihak pendakwaan mengemukakan lapan saksi untuk memberi keterangan, manakala pihak pembelaan memanggil lima saksi bagi menyokong kes mereka.
