![]() |
| 2 wanita disyaki terbabit dengan aktiviti penyalahgunaan dadah kena cekup polis. Foto | Ihsan PDRM. |
TAWAU: Akibat ketagihan dan penyalahgunaan dadah dua wanita warga tempatan kena cekup dalam dua serbuan berasingan di sekitar kawasan bandar di sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, serbuan pertama dijalankan di kawasan Lorong Bunga Raya dan berjaya menahan seorang wanita berusia lingkungan 39 tahun.
Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.07 gram.
"Serbuan kedua di kawasan Kampung ‘Icebox’, polis menahan seorang lagi wanita berusia sekitar 34 tahun yang didapati berada dalam keadaan mencurigakan.
"Pemeriksaan lanjut menemui satu paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki syabu dengan anggaran berat 0.12 gram dan kedua-dua suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Jelas beliau lagi, hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta Seksyen 15(1)(a) akta sama berkaitan kesalahan penyalahgunaan dadah," katanya.
