KOTA KINABALU: Tahap keselamatan dan keyakinan pelancong domestik serta antarabangsa ke Semporna akan terus diperkukuh melalui tindakan penguatkuasaan dan penyelarasan bersepadu dari pelbagai agensi yang dirancang dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Kerja Khas (Taskforce), di sini.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Andi Md Shamsureezal berkata, mesyuarat berkenaan diadakan sebagai langkah proaktif dalam memastikan destinasi pelancongan daerah popular itu kekal selamat dan teratur.
“Mesyuarat berkenaan juga bertujuan mengenal pasti beberapa isu utama yang memerlukan perhatian segera, khususnya melibatkan pelesenan premis penginapan, aspek keselamatan serta pematuhan terhadap arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP), selain keperluan penyelarasan lebih bersepadu antara agensi berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Berdasarkan dapatan semasa, sebanyak 190 premis penginapan dikenal pasti beroperasi di Semporna, dengan 45 premis telah dilesenkan, 59 premis dalam proses memohon lesen manakala 86 premis belum mengambil sebarang tindakan pelesenan .
“KePKAS memberi tempoh tiga bulan kepada 86 premis penginapan yang belum berlesen untuk menyelesaikan permohonan lesen masing-masing.
“Kegagalan berbuat demikian akan dikenakan tindakan melalui mekanisme penguatkuasaan bersepadu,” tegasnya.
Beliau berkata, KePKAS turut mengumpul serta menyelaraskan semua Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan pelancongan sebelum diterbitkan dan diakses secara terbuka melalui laman sesawang rasmi kementerian.
Katanya, operasi bersepadu akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memastikan pematuhan terhadap pelesenan, SOP keselamatan dan keselamatan pelancong sentiasa berada pada tahap ditetapkan.
“KePKAS komited untuk memastikan Daerah Semporna kekal sebagai destinasi pelancongan yang selamat, teratur dan berdaya saing selaras dengan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memelihara imej pelancongan Sabah di peringkat nasional dan antarabangsa,” ujarnya.
