Tenom diisytihar kawasan bencana banjir dan tanah runtuh

 

TENOM: Daerah Tenom diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir dan tanah runtuh susulan hujan berterusan sejak 1 Januari lalu yang menyebabkan limpahan Sungai Padas serta beberapa sungai kecil dari kawasan berbukit.

Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tenom, Alexander Liew berkata, pengisytiharan itu dibuat berdasarkan laporan dan maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi-agensi terlibat.

“Diisytiharkan bahawa telah berlaku bencana banjir dan tanah runtuh di daerah Tenom, pada Isnin, jam tiga petang,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam. 

Terdahulu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Tenom memaklumkan, lima kampung dikenal pasti telah dinaiki air.

“Lima kampung berkenaan iaitu Kampung Enubai (Jalan Labut), Kampung Ponontomon, Kampung Pantungon Saga, Kampung Tumantalik dan Kampung Pantongan Sapong,” jelasnya. 

Menurut APM, limpahan air Sungai Padas turut menyebabkan beberapa laluan utama di kampung-kampung terjejas serta Jalan Bensilon tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan.

Susulan situasi itu, seramai 535 penduduk daripada 198 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas dan ditempatkan di empat pusat penempatan sementara (PPS).

“Empat PPS berkenaan iaitu Dewan Terbuka Labut Dua, Rumah Kebudayaan Kampung Ponontomon, Mandalom Lama dan Panyogan Saga,”tambahnya. 

Setakat jam lapan pagi ini, tiada jumlah kematian dan penduduk terjejas yang berada di luar pusat pemindahan direkodkan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama