PUTATAN: Enam buah rumah dilaporkan musnah dalam satu kejadian kebakaran yang dipercayai berpunca daripada litar pintas di Kampung Ketiau, di sini, awal pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Putatan memaklumkan, kebakaran yang bermula di sebuah rumah telah merebak ke lima rumah berhampiran sebelum berjaya dikawal oleh pasukan penyelamat.
“Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Putatan telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.25 pagi daripada seorang penduduk yang bernama Sofie.
“Seramai empat anggota APM Putatan telah digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 6.40 pagi,” katanya dalam satu kenyataan APM Putatan.
Katanya, operasi pemadaman dan kawalan kebakaran melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), JBPM Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu, APM Putatan serta APM Kota Kinabalu bersama kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
“Jam 7.52 pagi, seramai 41 mangsa daripada 11 Ketua Isi Rumah (KIR) dikenal pasti terjejas akibat kebakaran tersebut,” jelasnya.
Setakat ini, tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka dan maklumat lanjut berkaitan pecahan mangsa masih dalam proses pengemaskinian.
