KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Hazem Mubarak Tun Musa, kini diberi amanah menerajui dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah sebagai Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera.
Pelantikan itu disifatkan sebagai kepercayaan besar kepimpinan negeri untuk memperkukuh tadbir urus korporat serta memacu pertumbuhan mampan dalam sektor strategik.
Hazem merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.
“Saya amat menghargai pelantikan ini. Amanah ini menguatkan tekad saya untuk memastikan kedua-dua GLC terus mencatat kecemerlangan, berdaya saing dan memberi pulangan optimum kepada negeri,” katanya.
Beliau menegaskan keutamaan akan diberikan kepada peningkatan kecekapan operasi, pengukuhan tadbir urus serta penerokaan peluang baharu bagi melonjakkan nilai syarikat, selari dengan agenda pembangunan ekonomi Sabah.
Hazem, 43, yang juga anak kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman turut memiliki pengalaman korporat apabila dilaporkan pernah berperanan sebagai pengarah syarikat dalam industri minyak sawit.
Pemerhati melihat pelantikan ini sebagai langkah strategik kerajaan negeri untuk menyuntik kepimpinan baharu dalam GLC utama, sekali gus memperkasa peranan syarikat milik kerajaan sebagai pemacu pertumbuhan dan kesejahteraan ekonomi Sabah.
