Tempoh 90 hari tamat: Jemaah Menteri bincang isu 40 peratus Sabah

 

KUALA LUMPUR: Isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini susulan tamatnya tempoh 90 hari semakan kadar Pemberian Khas Sabah seperti yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menzahirkan keprihatinan serius terhadap pematuhan keputusan mahkamah berkenaan dan meletakkan perkara itu sebagai antara keutamaan utama kerajaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, keputusan mahkamah pada 17 Oktober 2025 menetapkan dua garis masa pelaksanaan, iaitu tempoh 90 hari bagi semakan kadar Pemberian Khas Sabah serta 180 hari untuk Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah mencapai persetujuan serta melaksanakan mekanisme pembayaran.

Menurutnya, tempoh 90 hari itu berakhir pada 14 Januari 2026, dengan satu mesyuarat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah telah diadakan pada 17 November tahun lalu sebagai sebahagian daripada proses semakan awal dan perbincangan mengenai kerangka, parameter serta perkara asas berkaitan pelaksanaan keputusan mahkamah.

“Sebagai langkah susulan, saya telah mengadakan kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Musa Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah serta Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Ketua Menteri Sabah pada 13 Januari 2026.

“Kunjungan itu bertujuan memperteguh tekad semua pihak untuk menyegerakan keseluruhan proses semakan mengikut garis masa yang ditetapkan mahkamah,” katanya dalam kenyataan media hari ini. 

Beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk terus menjunjung kedaulatan undang-undang serta memastikan kepentingan rakyat Sabah dan negara secara keseluruhannya diberi keutamaan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama