MDT 2026: Pelbagai program pelancongan bakal meriahkan Tenom – Jamawi

Jamawi (dua dari kanan), Riduan (kiri) dan Alexander (tengah) mendengar penerangan daripada pemilik Naluyan Lodge dan Tenom Coffee Villa, Gerald Baxter.

TENOM: Pelbagai program dan aktiviti pelancongan bakal dilaksanakan sempena Tahun Melawat Daerah Tenom (MDT) 2026, sebagai usaha meningkatkan jumlah kehadiran pelancong serta mempromosikan produk pelancongan sedia ada di daerah ini.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar, berkata mesyuarat tersebut bertujuan membincangkan hala tuju pelancongan daerah selain merangka pengisian program bagi menjayakan MDT 2026.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew, manakala Jamawi mendengar taklimat daripada ketua-ketua jabatan berkaitan.

“Antara program yang dirancang termasuk Pesta Bot Naga, Pesta Kopi Tenom Sabah, Pesta Kebudayaan Pedalaman Atas, Pesta Kalimaran, Program Hiking Tenom 2026 dan Tenom Campfest 2026.

“Pelbagai aktiviti akan dilaksanakan bagi menarik kehadiran pelancong di samping mempromosikan produk dan tarikan pelancongan sedia ada di Tenom,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Kerja MDT 2026 sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 yang diadakan di Bilik Mesyuarat Padas, di sini, hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Ahli Parlimen Tenom, Datuk Riduan Rubin, ketua-ketua jabatan serta wakil beberapa agensi kerajaan dan swasta.

Jamawi turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua ahli jawatankuasa yang terlibat serta menyatakan sokongan penuh terhadap program yang dirancang.

“Semoga segala usaha mempromosikan Tenom sebagai destinasi kunjungan utama pada masa akan datang dipermudahkan,” jelasnya. 

Dalam pada itu, Jamawi turut menyantuni ahli Dewan Perniagaan Cina Tenom diketuai pengerusinya, Datuk Yong Oi Kiong, pada pertemuan yang diadakan di Tenom Coffee Villa.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama