KOTA KINABALU: Tarif elektrik baharu bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan akan berkuat kuasa bermula 1 Februari 2026 (esok) dengan kadar purata tarif asas ditetapkan pada 39.70 sen bagi setiap kilowatt jam (kWj), berbanding 34.52 sen/kWj sebelum ini.
Sabah Electricity (SE) bagaimanapun memberi jaminan bahawa majoriti pengguna domestik tidak terkesan secara ketara apabila kira-kira 85 peratus pengguna dengan penggunaan sehingga 600 kWj sebulan hanya mengalami kenaikan minimum antara RM0 hingga RM27.
Menurut SE dalam kenyataan hari ini, perlindungan turut diberikan kepada pengguna komersil kecil apabila blok penggunaan elektrik yang dilindungi dilanjutkan sehingga 500 kWj sebulan, sekali gus mengehadkan kenaikan bil kepada sekitar RM0 hingga RM24 sahaja, termasuk kedai runcit dan perniagaan kecil.
“Langkah ini bertujuan mengurangkan impak kenaikan tarif kepada pengguna domestik serta peniaga kecil, di samping memastikan kelestarian dan kebolehpercayaan bekalan elektrik di Sabah dan Labuan,” menurut kenyataan itu.
Bagi membantu golongan berpendapatan rendah, SE memaklumkan rebat RM40 sebulan akan diberikan kepada Ketua Isi Rumah miskin tegar yang berdaftar di bawah sistem e-Kasih, dengan semakan kelayakan boleh dibuat melalui laman web semakanrebat.petra.gov.my.
Selain itu, katanya, diskaun 10 peratus turut diberikan kepada rumah kebajikan, rumah ibadah serta institusi pendidikan berdaftar bagi meringankan kos operasi.
SE turut menawarkan diskaun 20 peratus di bawah Off-Peak Tariff Rider (OPTR) kepada pengguna komersil dan industri voltan rendah bagi penggunaan elektrik di luar waktu puncak, sebagai langkah mengurangkan beban kos peniaga kecil-kecilan.
Dalam perkembangan sama, diskaun baharu sebanyak 10 peratus diumumkan khusus kepada sektor pertanian, akuakultur dan perikanan bagi menyokong keterjaminan makanan serta kestabilan rantaian bekalan.
Mengulas mengenai semakan tarif berkenaan, SE menjelaskan pelarasan itu dibuat bukan semata-mata untuk menaikkan harga, sebaliknya bagi memastikan sistem elektrik Sabah menjadi lebih mampan, boleh dipercayai dan terjamin untuk memenuhi keperluan semasa serta jangka panjang.
Menurut SE, antara justifikasi utama semakan tarif adalah bagi mengurangkan kebergantungan kepada subsidi kerajaan secara berperingkat, selain menampung peningkatan kos bahan api, penyelenggaraan serta operasi sistem yang semakin meningkat.
“Selain itu, infrastruktur elektrik di Sabah perlu dinaik taraf bagi menjamin kestabilan bekalan jangka panjang, sedangkan kadar tarif sedia ada tidak pernah disemak sejak 2014 walaupun kos operasi terus meningkat,” katanya.
SE menggalakkan pengguna mendapatkan maklumat terperinci mengenai jadual tarif serta membuat anggaran bil bulanan akan datang dengan melayari laman web rasmi www.sesb.com.my/tariff yang turut menyediakan kalkulator bil elektrik.
“Pengguna juga disaran menggunakan tenaga secara lebih cekap dan berhemah bagi mengurangkan kesan kenaikan bil, di samping menyokong penggunaan tenaga boleh baharu demi memastikan sistem elektrik Sabah lebih mampan pada masa depan,” katanya.
