Kualiti tandas RM11.8 juta KKIA dipersoal, DAP Sabah desak penjelasan MAHB


KOTA KINABALU: DAP Sabah mempersoalkan pengurusan, penyeliaan dan tahap kebertanggungjawaban Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) susulan pendedahan kecacatan berulang dalam projek naik taraf tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), walaupun kemudahan itu sudah diperakui siap.

Pengerusinya, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, beberapa lawatan tapak yang dilakukannya mendapati mutu kerja projek berkenaan masih berada pada tahap tidak memuaskan, sekali gus menimbulkan persoalan serius terhadap kawalan kualiti dan sistem pemeriksaan projek.

Menurutnya, isu itu semakin mendapat perhatian umum apabila netizen mula mempersoalkan kos naik taraf yang dianggarkan sekitar RM400,000 bagi setiap tandas, namun masih menampilkan pelbagai kecacatan yang jelas kelihatan.

“Berdasarkan pemerhatian saya sendiri, mutu kerja bukan sahaja tidak munasabah, malah amat meragukan.

"Lebih membimbangkan, kecacatan ini ditemui di fasiliti yang sudah diperakui siap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Phoong menegaskan, orang ramai berhak mempersoalkan projek menggunakan dana awam, terutama apabila ia melibatkan peruntukan besar dan kemudahan awam utama.

“Apabila kos naik taraf setiap tandas mencecah ratusan ribu ringgit, rakyat berhak mengharapkan kualiti, keselesaan dan standard bertaraf dunia.

"Apa yang berlaku sebaliknya adalah siri kecacatan yang tidak sepatutnya wujud,” katanya.

Beliau mendedahkan antara kecacatan yang dikenal pasti termasuk jubin tidak rata, kemasan kasar, pemasangan kelengkapan yang longgar, masalah kebocoran air, peralatan tidak berfungsi serta mutu kerja keseluruhan yang gagal memenuhi piawaian asas kemudahan awam.

Katanya, keadaan itu bukan sahaja mencerminkan kelemahan kontraktor, malah menimbulkan persoalan besar terhadap mekanisme penyeliaan, pemeriksaan dan kelulusan projek.

Mengulas laporan media sebelum ini, Phoong berkata kerajaan memperuntukkan RM11.8 juta bagi menaik taraf 26 tandas di KKIA secara berperingkat, dengan 20 daripadanya dilaporkan sudah siap manakala baki enam dijangka siap sekitar April atau Mei ini.

Bagaimanapun, beliau mendakwa isu kualiti sama terus berulang walaupun teguran sudah dibuat beberapa kali sebelum ini.

“Apabila kecacatan sama terus berlaku tanpa tindakan pembetulan menyeluruh, ia satu bentuk kecuaian yang tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi membabitkan wang rakyat,” katanya.

Phoong turut memaklumkan perkara itu sudah dibangkitkan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang memberi jaminan akan meneliti isu berkenaan dan memastikan tindakan susulan diambil.

Pada masa sama, beliau menegaskan MAHB sebagai operator lapangan terbang dan pihak pelaksana perlu memikul tanggungjawab utama, termasuk menjelaskan proses pemilihan kontraktor serta bagaimana kemudahan yang jelas mempunyai kecacatan boleh diperakui siap.

“MAHB mesti membaiki sepenuhnya semua kecacatan, menjalankan audit menyeluruh dan menetapkan kebertanggungjawaban. Kegagalan berbuat demikian hanya akan menghakis keyakinan rakyat.

"Isu ini amat serius memandangkan KKIA adalah pintu masuk antarabangsa utama Sabah, justeru imej, kualiti pembinaan dan tahap pengurusannya tidak boleh dipandang ringan," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama