Kenaikan tarif elektrik perlu selari peningkatan perkhidmatan - Pemuda Gagasan Rakyat

KOTA KINABALU: Pelarasan tarif elektrik di Sabah yang akan berkuat kuasa bermula 1 Februari ini perlu diimbangi dengan perlindungan menyeluruh kepada rakyat serta peningkatan ketara terhadap kualiti dan kebolehpercayaan perkhidmatan elektrik.

Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Azrul Ibrahim berkata, pihaknya mengambil maklum pengumuman Sabah Electricity (SE) berhubung semakan tarif berkenaan dan memahami bahawa langkah itu adalah perlu bagi memastikan bekalan elektrik di Sabah kekal stabil, berkualiti serta mencukupi untuk keperluan semasa dan masa depan.

Menurutnya, semakan tarif juga penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada subsidi kerajaan secara berperingkat, selain menampung peningkatan kos bahan api, penyelenggaraan sistem serta keperluan menaik taraf infrastruktur grid elektrik yang semakin usang.

“Namun, sebarang kenaikan tarif mestilah disertai dengan peningkatan kualiti perkhidmatan yang ketara.

"Kebolehpercayaan sistem tidak boleh lagi dianggap perkara biasa, apatah lagi apabila pengguna diminta membayar kadar yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azrul menegaskan SE perlu memastikan tahap kecekapan operasi, kebolehpercayaan sistem serta respons perkhidmatan pelanggan berada pada standard yang setimpal dengan pelarasan tarif yang dilaksanakan.

Dalam masa sama, beliau menggesa supaya perlindungan kepada pengguna diperluaskan melalui mekanisme diskaun, rebat atau bantuan bersasar, khususnya kepada golongan B40, isi rumah berpendapatan sederhana, peniaga kecil serta sektor kritikal yang menyokong ekonomi rakyat.

“Pendekatan bersasar dan berfokus amat penting bagi memastikan pelarasan tarif ini tidak memberi tekanan berlebihan kepada kumpulan rentan,”katanya.

Beliau turut menegaskan setiap hasil tambahan daripada pelarasan tarif perlu dibelanjakan secara berhemah dan bertanggungjawab, termasuk bagi penambahbaikan infrastruktur, pengurangan gangguan bekalan elektrik serta pelaburan dalam sumber tenaga yang lebih mampan dan cekap.

“Rakyat berhak melihat pulangan yang jelas dan ketara daripada apa yang mereka bayar,” katanya.

Katanya, Pemuda Gagasan Rakyat berharap semua pihak berkepentingan dapat mengambil pendekatan seimbang antara keperluan kewangan utiliti, tanggungjawab kerajaan serta kesejahteraan rakyat Sabah.

“Semakan tarif ini bukan semata-mata soal kenaikan harga, sebaliknya perlu menjadi langkah ke hadapan untuk memastikan sistem elektrik Sabah lebih terjamin, mampan dan boleh dipercayai untuk generasi kini dan akan datang,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama