![]() |
| Ewon(tengah) ketika merasmikan Premis Tamu Desa Kampung Ramayah, di sini. |
PENAMPANG: Pelancaran dan perasmian Premis Dewan Terbuka Tamu Desa Kampung Ramayah membuktikan komitmen kerajaan dalam menyediakan kemudahan yang menepati keperluan usahawan kecil di kawasan perkampungan.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berkata, kemudahan berkenaan memberi ruang yang lebih selesa kepada peniaga kecil untuk menjalankan perniagaan.
“Dengan terbinanya kemudahan ini, kita dapat melihat sendiri bagaimana usahawan mengambil kesempatan untuk berniaga.
Ini membuktikan bahawa kemudahan yang disediakan oleh kerajaan adalah bertepatan dengan keperluan usahawan-usahawan kecil di kampung-kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan dan merasmikan Premis Dewan Terbuka Tamu Desa Kampung Ramayah, sempena sambutan kesyukuran Krismas dan Tahun Baharu yang bertempat di Dewan Raya, di sini, hari ini.
Menurut Ewon, pembinaan premis berkenaan telah dipohon semasa beliau menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, selaras dengan keperluan Kampung Ramayah yang mengadakan tamu mingguan setiap hari Sabtu.
Dalam pada itu, Ewon yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, kementeriannya akan memberi tumpuan besar kepada pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi memacu sumber ekonomi negeri ini.
“Selaku Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah yang baharu, saya akan memberi fokus besar kepada pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” ujar beliau.
