KOTA KINABALU: “Saya menasihatkan semua penduduk supaya sentiasa waspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa, termasuk berpindah segera jika diarahkan,” kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Arifin Mohd Arif, berikutan banjir yang semakin membimbangkan di Beaufort.
Katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang dipengerusikan Pegawai Daerah telah bersedia bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), ketua-ketua adat serta pemimpin tempatan.
“Ya, kita sudah bersedia. Jawatankuasa pengurusan bencana yang dipengerusikan Pegawai Daerah turut berada dalam keadaan siap siaga bersama JKKK, ketua adat dan pemimpin setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis tahlil mengenang jasa Almarhum Tun Dato’ Haji Mustapha Harun di Masjid Bandaraya, di sini, malam ini.
Menurut beliau, pusat pemindahan sementara (PPS) telah disediakan di Membakut dan berkemungkinan turut dibuka di Beaufort bagi menampung penduduk yang terjejas.
“Besok saya akan turun ke kawasan untuk melihat keadaan berkenaan.
“Saya meminta semua kawasan yang sering terjejas banjir seperti Kampung Baitam, Jambatan Baru dan Lempijas supaya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan serta sentiasa berhubung dengan jawatankuasa bencana,”jelasnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias, Datuk Isnin Aliasnih menasihatkan penduduk di kawasan terjejas supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Pertamanya waspada, keduanya, kalau dapat arahan pindah, pindahlah.
“Jangan tunggu, sebab keadaan tidak menentu. Jadi saya minta rakyat, setiap saat dengar arahan,” katanya.
Menurut beliau, Beaufort merupakan antara daerah yang sering dilanda banjir setiap tahun.
“Setiap tahun Beaufort memang mengalami banjir dan tahun lalu mencatatkan sehingga 20 kejadian. Kali ini banjir berlaku lebih awal dan risikonya lebih besar,”tambahnya.
