KUALA LUMPUR: Kerajaan memperketat pemantauan dan penguatkuasaan di stesen minyak kawasan sempadan, termasuk di Kalabakan dan sepanjang laluan Tawau-Indonesia.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pemantauan itu bagi menutup ruang ketirisan serta membanteras penyeludupan petrol susulan pelaksanaan penuh Program BUDI MADANI RON95 (BUDI 95).
Katanya, langkah itu dilaksanakan menerusi penguatkuasaan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) di peringkat runcit, dengan tumpuan khusus kepada stesen minyak berisiko tinggi di kawasan sempadan negara.
“Bermula 30 September 2025, mekanisme penggunaan kad pengenalan diperkenalkan bagi memastikan hanya warganegara layak berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu sah boleh membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter.
“Langkah ini bertujuan memastikan subsidi hanya dinikmati golongan sasar, sekali gus mengekang ketirisan dan aktiviti penyeludupan bahan api, khususnya di kawasan sempadan seperti Tawau-Indonesia,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Kalabakan) berhubung langkah komprehensif kerajaan menjamin integriti serta keberkesanan pengurusan subsidi petrol pasca pelaksanaan BUDI 95.
Armizan berkata, antara langkah penguatkuasaan di stesen minyak sempadan termasuk pemeriksaan berkala bagi memastikan pematuhan penggunaan kad pengenalan, larangan penjualan RON95 kepada kenderaan berdaftar asing serta kawalan pembelian luar tangki dengan had maksimum 20 liter tanpa permit khas.
Selain itu, katanya, KPDN turut melaksanakan pemantauan melalui buku log dan peti lawatan, selain menjalankan operasi penguatkuasaan bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
“Pengauditan rantaian bekalan turut dilakukan melalui analisis corak jualan stesen minyak berisiko tinggi, selain tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran,” katanya.
Menurut beliau, penggunaan fleet card di bawah SKPS membolehkan setiap transaksi pembelian petrol RON95 direkodkan secara digital dan dipantau menerusi Sistem Data Analitik yang sedang dibangunkan KPDN.
Dalam masa sama, Armizan berkata, kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), industri minyak serta pengukuhan program advokasi dan kesedaran awam bersama komuniti setempat turut diperkasa.
“Pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan menerusi operasi bersepadu seperti Ops Tiris dan Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (KITA GEMPUR) bagi memastikan objektif penyasaran subsidi RON95 benar-benar tercapai,” katanya.
