TAWAU: Seekor buaya jantan hampir lima meter berjaya ditangkap Jabatan Hidupan Liar (JHL) dengan kerjasama penduduk kampung di sungai Kampung Pangkalan Asli, Merotai, di sini, hari ini.
Difahamkan buaya itu dilihat di kawasan sungai berkenaan sejak minggu lalu sebelum membuat aduan kepada JHL untuk tindakan lanjut.
Menurut sumber, operasi menangkap reptilia berkenaan dijalankan bagi mengelakkan sebarang risiko kepada penduduk yang bergantung kepada sungai terbabit untuk kegunaan harian termasuk aktiviti mencari hasil sungai dan pergerakan bot.
“Operasi dijalankan dengan lancar hasil kerjasama erat antara JHL dan penduduk kampung yang membantu memantau pergerakan buaya terbabit,” katanya.
Buaya jantan itu berjaya ditangkap tanpa sebarang kejadian tidak diingini sebelum dibawa keluar dari kawasan berkenaan untuk tindakan lanjut mengikut prosedur ditetapkan.
Kehadiran buaya bersaiz besar itu sebelum ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk yang bimbang kemungkinan serangan, terutama terhadap kanak-kanak dan nelayan sungai.
Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya segera melaporkan kepada JHL atau pihak berkaitan sekiranya mengesan kehadiran buaya di kawasan kediaman bagi membolehkan tindakan segera diambil.


