![]() |
| Azrul, ketika ditemui pemberita pada sidang media, di Menara Kinabalu, di sini, pada Rabu. |
Ketua Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Sabah, Azrul Ibrahim berkata, langkah ini bertujuan menarik pelabur domestik dan antarabangsa serta membuka peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat Sabah.
“Dengan SMJ 2.0, kita ingin memastikan peluang pekerjaan bukan sahaja banyak, tetapi berkualiti dan relevan dengan kepakaran anak-anak Sabah.
“Pelabur asing dan tempatan dijangka memberi sumbangan signifikan kepada pembangunan ekonomi negeri.
“Kita tahu, Sabah merupakan antara negeri yang menjadi destinasi utama kunjungan pelancong-pelancong, khususnya daripada Korea, China dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sidang Media, di sini, pada Rabu.
Katanya, Sabah menerima hampir 10 juta pelancong melalui program - program inisiatif kerajaan negeri melalui promosi dalam sektor pelancongan.
Menurut beliau, Sabah berpotensi baik untuk menarik minat penggiat industri untuk meneroka hasil pertanian yang ada dan wujudnya penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah yang akan memastikan keterjaminan sumber makanan negeri termasuk tanaman lain seperti durian dan buah-buahan tempatan.
“Dengan pelantikan menteri baru yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini, sektor pertanian akan bergerak dengan lebih pantas,” jelasnya.
Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri turut menekankan potensi ekonomi biru (blue economy) sebagai salah satu fokus utama, dengan matlamat menjana pendapatan negeri melalui pelabur domestik dan antarabangsa.
“Pelan ini bertujuan memaksimumkan pembangunan sektor ekonomi maritim, termasuk Penukaran Tenaga Laut (OTEC) dan industri-industri lain yang berpotensi menjana pendapatan negeri melalui kemasukan pelabur, selain membuka peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat Sabah.
“Dalam tempoh lima tahun, kerajaan negeri menjangkakan penubuhan taman perindustrian baharu di Kudat, Kota Belud dan Buford sebagai usaha mengimbangi pembangunan di seluruh negeri.
Selain daripada pembangunan ekonomi, agenda kesejahteraan rakyat turut diperkuat melalui inisiatif seperti pendidikan percuma di Institut Pendidikan Tinggi (IPT) milik kerajaan negeri, biasiswa untuk pelajar lepasan UEC, Rumah Mesra SMJ dan program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR).
“Kerajaan negeri komited memastikan semua rakyat, tanpa mengira latar belakang, mendapat manfaat daripada pembangunan SMJ 2.0. Pendidikan, rumah dan bantuan sosial adalah asas kepada kesejahteraan rakyat,” tambahnya.
.png)