KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat semakin mendapat keyakinan semula masyarakat Cina susulan dasar pentadbiran negeri yang bersifat inklusif di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Azrul Ibrahim berkata, walaupun tiada data khusus mengenai unjuran sokongan pengundi Cina, beberapa kajian dan pandangan pihak berkepakaran menunjukkan trend positif terhadap gabungan itu.
Menurutnya, sebelum ini GRS tidak meletakkan calon di kebanyakan kawasan majoriti pengundi Cina kerana memberi laluan kepada rakan parti dalam gabungan kerajaan negeri.
“Kita tidak mempunyai jajaran atau panduan khusus untuk mengukur sokongan pengundi Cina kerana di kawasan majoriti mereka, GRS tidak bertanding ketika itu.
“Namun berdasarkan pandangan pihak berautoriti dan institut kajian, terdapat perkembangan positif dan harapan sokongan itu kembali kepada GRS,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Pemuda Gagasan Rakyat Bilangan 1 Tahun 2026 di Pejabat Parti Gagasan Rakyat Sabah, di sini, hari ini.
Azrul berkata, antara faktor yang menyumbang kepada penerimaan itu ialah pendekatan kerajaan negeri yang inklusif termasuk pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Katanya, kerajaan negeri bukan sahaja mengiktiraf UEC, malah turut menyalurkan bantuan biasiswa kepada pelajar yang mengikuti aliran berkenaan.
“Seramai 37 pelajar daripada komuniti Tiong Hua menerima bantuan biasiswa kerajaan negeri bagi melanjutkan pelajaran melalui sijil UEC.
“Ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memenuhi keperluan masyarakat Cina, khususnya dalam sektor pendidikan, selain membuka ruang kerjasama dalam bidang ekonomi, keusahawanan dan kebajikan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Azrul turut menegaskan komitmen Pemuda Gagasan Rakyat untuk memperkukuh gerak kerja sukarelawan menerusi penubuhan GAHMUDA atau singkatan kepada Gagah Muda.
Menurutnya, GAHMUDA akan berfungsi sebagai pasukan sukarelawan melibatkan ahli parti dan individu bukan partisan bagi membantu masyarakat dalam situasi kecemasan seperti banjir, kebakaran serta pengurusan jenazah dan keperluan komuniti lain.
“Kita mahu anak muda terlibat secara langsung dalam aktiviti kesukarelawanan dan menjadi barisan hadapan membantu rakyat ketika diperlukan,” katanya.
Beliau yakin pendekatan inklusif kerajaan negeri serta pengukuhan gerak kerja di peringkat akar umbi akan meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap GRS pada masa akan datang.
