Joniston pantau KKIA, pastikan fasiliti awam kekal bersih dan selesa

Joniston (tengah) ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di sekitar KKIA, hari ini. 


KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap menteri bertanggungjawab kepada DBKK, Datuk Joniston Bangkuai menjalankan lawatan pemantauan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bagi memastikan kemudahan awam sentiasa berada pada tahap terbaik, khususnya melibatkan kebersihan tandas awam, di sini. 

Beliau berkata lawatan pemantauan yang dilakukan hari ini adalah sebagai respons kepada aduan orang ramai mengenai tahap kebersihan tandas di lapangan terbang berkenaan. 

“Tujuan utama lawatan ini bukan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya bagi memastikan tindakan pembaikan yang dapat menjamin tahap kebersihan berada dalam keadaan yang sejajar dengan kedudukan KKIA sebagai pintu masuk utama ke Sabah.

“Antara aduan yang kita terima termasuk isu lantai basah, bekalan air dan kemudahan asas lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke KKIA, di sini, hari ini. 

Joniston turut menegaskan kepentingan pemantauan secara berterusan, termasuk penugasan seorang petugas khusus di setiap tandas bagi memastikan sebarang isu kebersihan dapat ditangani segera.

“Kita tidak mahu tanggapan negatif terbentuk hanya kerana keadaan pada satu-satu masa. Pemantauan rapi dan tindakan pantas adalah kunci,” tambahnya. 

Sementara itu, Pengurus Kanan KKIA, Jefry Ramli memaklumkan bahawa proses penambahbaikan 26 set tandas yang berjumlah RM11.8 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada April atau Mei tahun ini. 

“Daripada 26 set tandas yang merangkumi tandas lelaki, wanita dan Orang Kurang Upaya (OKU), sebanyak 12 set telah siap sepenuhnya, manakala enam lagi sedang dalam proses naik taraf.

“Kerja-kerja ini dilaksanakan secara berfasa kerana kami tidak boleh menutup semua tandas serentak. Pada satu-satu masa, hanya lima atau enam tandas sahaja ditutup bagi memastikan operasi lapangan terbang tidak terganggu,” jelasnya. 

Katanya, kekurangan tandas yang berlaku ketika ini adalah bersifat sementara dan dijangka pulih sepenuhnya sebaik projek siap kelak.

Jefry turut menambah bahawa setiap tandas yang dinaik taraf tertakluk kepada tempoh liabiliti kecacatan (defect liability period) selama setahun, di mana kontraktor diwajibkan membaiki sebarang masalah yang timbul selepas digunakan.

“Kami hanya dapat mengenal pasti isu sebenar selepas tandas digunakan oleh orang awam. Dalam tempoh DLP ini, segala kecacatan akan dibaiki segera,” katanya.

Mengulas mengenai jumlah penumpang yang diterima pihak KKIA kini, antara 22,000 hingga 24,000 penumpang sehari.

“Kami pernah mencatat sehingga 30,000 penumpang sehari ketika ‘peak season’ dan jumlah 26 set tandas yang ada sekarang mencukupi, bagi menampung keperluan pengguna setelah semua kerja naik taraf selesai,” ujar beliau.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama