KOTA KINABALU: Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) menuntut penjelasan yang jelas dan berasaskan dokumen rasmi susulan laporan bercanggah mengenai perkembangan proses sempadan Malaysia–Indonesia di sekitar Sabah.
Presidennya, Datuk Mohamed Nazim Maduarin berkata, pihaknya mengambil maklum laporan media di Malaysia dan Indonesia yang memberi gambaran berbeza berkaitan isu sempadan, termasuk dakwaan melibatkan beberapa kampung di Nunukan, Kalimantan Utara serta angka keluasan tanah yang disebut-sebut.
Menurutnya, kerajaan Persekutuan sudah menegaskan bahawa tiada sebarang penyerahan atau pemindahan wilayah negara berlaku, sebaliknya perbincangan dengan Indonesia hanya melibatkan proses teknikal penandaan dan pengesahan sempadan yang telah lama dijalankan mengikut undang-undang antarabangsa.
“Pihak berkuasa Malaysia juga menjelaskan bahawa proses ini tidak membabitkan sebarang pampasan, timbal balik atau pertukaran tanah, dan laporan mengenai pemindahan wilayah adalah tidak tepat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Namun, beliau berkata, laporan di beberapa media Indonesia yang memetik pegawai negara itu menggambarkan perkembangan sama dalam bentuk berbeza, termasuk dakwaan tiga kampung di Kabupaten Nunukan diletakkan di bawah pentadbiran Malaysia susulan pelarasan sempadan, selain menyebut angka kira-kira 5,207 hektar.
"Perbezaan naratif itu bukan sekadar isu tafsiran, sebaliknya melibatkan gambaran undang-undang yang berbeza dan boleh menimbulkan kekeliruan awam.
“Kewujudan angka keluasan tertentu dalam laporan awam, sedangkan Malaysia menafikan sebarang pemindahan wilayah, memerlukan penjelasan rasmi yang lengkap dan didokumenkan,” katanya.
Nazim berkata, sehingga kini tiada pendedahan terperinci mengenai keluasan tanah atau peta rasmi bagi kampung-kampung yang dirujuk, sekali gus menguatkan keperluan kepada penjelasan berasaskan rekod dan dokumen sah.
"Sabah mempunyai kedudukan perlembagaan yang tersendiri dalam Persekutuan Malaysia, justeru sebarang isu berkaitan sempadan wilayah tidak boleh dianggap sebagai urusan teknikal semata-mata.
“Ia membabitkan prinsip asas tadbir urus perlembagaan, hubungan Persekutuan dan negeri serta kebertanggungjawaban awam,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, SLS menggesa pendedahan jelas dan menyeluruh mengenai asas perundangan dan teknikal proses berkenaan, termasuk perjanjian berkaitan, rekod tinjauan bersama serta peta rasmi bagi merungkai perbezaan laporan dan mengekalkan keyakinan rakyat.
“SLS akan terus memantau perkembangan ini dan kekal komited mempertahankan kepentingan undang-undang Sabah dan rakyatnya,” katanya.
