LAHAD DATU: Tiga lelaki cedera selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Vigo yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 kaki di KM 13 Jalan SMK Segama, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.02 pagi.
Menurutnya, seramai sembilan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 13 kilometer dari balai.
“Jentera tiba di lokasi pada jam 1.12 pagi dan mendapati sebuah Toyota Vigo terbabas lalu jatuh ke dalam gaung sedalam lebih kurang 20 kaki.
“Terdapat tiga mangsa lelaki tersepit di dalam kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sumsoa berkata, operasi menyelamat diketuai Mohamad Akbar Muhammbar dengan bantuan peralatan kemalangan jalan raya (RTA) bagi mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit.
Katanya, Seorang mangsa berusia 33 tahun dan dua lagi belum diperolehi maklumatnya dilaporkan mengalami kecederaan.
“Mangsa kemudian dibawa naik sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke hospital menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut
“Setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.17 pagi,” katanya.

