Ketua Pemuda MCA Sabah letak jawatan


KOTA KINABALU: Ketua Pemuda MCA Sabah, Roger Yapp, mengumumkan peletakan jawatannya termasuk semua jawatan lain dalam parti berkenaan, berkuat kuasa serta-merta.

Menerusi satu kenyataan pada Ahad, Roger berkata keputusan itu dibuat bukan atas kepentingan diri, emosi atau ketakutan, sebaliknya bagi membuka ruang kepada pendekatan perjuangan yang berbeza.

Beliau berkata akan terus bersuara dan bekerja untuk kepentingan rakyat Sabah serta berharap sokongan dan semangat terus diberikan kepada golongan anak muda di negeri ini.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pimpinan MCA, khususnya Presiden Datuk Seri Wee Ka Siong; Ketua Pemuda MCA, YB Ling Tiang Soon serta mantan Setiausaha Agung, Datin Paduka Chew Mei Fun yang pernah memberikan kepercayaan dan peluang kepada saya.

“Dengan ini, saya secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda MCA Sabah dan semua jawatan dalam parti, berkuat kuasa serta-merta.

“Keputusan ini bukan dibuat atas kepentingan diri, emosi atau ketakutan. Melepaskan jawatan tidak bermakna menghentikan perjuangan, sebaliknya saya mahu menukar kaedah.

“Saya akan terus bekerja dan bersuara demi rakyat dan masyarakat Sabah. Prinsip dan niat saya kekal tidak berubah,” katanya.

Roger berkata, meskipun keputusan itu bukan sesuatu yang mudah, beliau telah bertekad untuk meneruskan perjuangan melalui saluran yang lain.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Mohd Kurniawan Naim Moktar atas kejayaannya memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung pada Sabtu.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan pemergian ayah Naim, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu, yang sebelum itu menyandang kedua-dua kerusi berkenaan.

Roger, yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah di bawah Allahyarham Bung Moktar, berkata arwah pernah berpesan supaya beliau membantu Naim sekiranya dipilih sebagai calon.

“Sepanjang 14 hari kempen, saya bersama Naim di Kinabatangan, turun naik perahu, mendaki bukit serta menziarahi rakyat dari kampung ke kampung, siang dan malam.

“Ada ketikanya saya berasa tertekan dan bimbang terhadap Naim, namun pada masa sama saya amat berbangga dan bersyukur dengan keberanian beliau untuk mencabar di kawasan Kinabatangan yang begitu luas,” katanya.

Beliau turut mengimbas pesan Allahyarham Bung Moktar agar anak muda sentiasa bersyukur, merendah diri dan saling membantu.

“Saya berpegang kepada pesanan arwah itu hingga ke hari ini,” katanya.

Pada PRK Parlimen Kinabatangan, Naim menang dengan majoriti 14,214 undi dalam pertandingan tiga penjuru selepas memperoleh 19,852 undi, menewaskan Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) yang meraih 5,638 undi serta Goldam Hamid (Bebas) dengan 946 undi.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama