Sabah perkukuh syiar islam melalui kerjasama Darul Ifta Mesir

Arifin (enam dari kiri) bergambar kenangan bersama Mufti Darul Ifta Mesir. 

KAHERAH: Kerajaan Sabah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Darul Ifta Mesir bagi memperkukuh syiar islam dalam bidang kefatwaan dan pembangunan ilmu. 

MoU berkenaan ditandatangani oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama Negeri Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, dan Mufti Mesir, Prof. Dr. Nazir Mohamad Ayyad, di Pejabat Darul Ifta, di sini.

Arifin berkata, perjanjian itu akan melibatkan kerjasama kepakaran, latihan kefatwaan dan keilmuan Islam berlandaskan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

“Sebelum ini saya telah berkunjung dan memohon kepada Mufti Mesir dan alhamdulilah pelbagai usaha terus dilaksanakan melalui MUIS, JHEAINS, Pejabat Mufti Sabah, Pejabat Peguam Besar Sabah, Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, serta pegawai Yayasan Sabah di Kaherah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Menurutnya, kejayaan itu hasil kerjasama MUIS, JHEAINS, Pejabat Mufti Sabah, Pejabat Peguam Besar Sabah, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Yayasan Sabah.

“Akhirnya usaha itu menampakkan kejayaan dengan termeterainya MoU pada petang ini,” jelasnya. 

Sementara itu, Prof. Dr. Nazir berharap MoU ini dapat mengukuhkan ukhuwah Islamiah serta memperkasa bidang syariah, dakwah, penyelidikan dan keilmuan Islam.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih; Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Panglima Yahya Husin; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hanafiah Kassim; Timbalan Duta Besar Malaysia di Kaherah dan Mufti Sabah, Datuk Bungsu Aziz Japar.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama