Isu jalan Sepanggar diberi perhatian serius, projek baik pulih sedang dilaksanakan - Mustapha Sakmud

Mustapha (tengah) ketika ditemui, di Tamu Telipok, hari ini.

KOTA KINABALU: Isu jalan raya berlubang dan rosak di kawasan Sepanggar dan Tebobon diberi perhatian serius dengan mengambil tindakan pembaikan yang sedang dilaksanakan secara berperingkat, menurut Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud.

Beliau berkata aduan rakyat mengenai keadaan jalan tersebut diambil maklum dan dibincangkan secara berkala bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

“Tahun lalu, kita berjaya membaiki jalan dari Kampung Tebobon hingga ke Petronas sejauh kurang satu kilometer. Namun, terdapat aduan baharu di kawasan lain yang kini sedang diteliti,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi Walkabout di Tamu Telipok, di sini, hari ini.

Katanya, satu taklimat khas bersama JKR Negeri akan diadakan bagi meneliti isu jalan-jalan Pan Borneo yang dikaitkan dengan projek-projek tertentu dan menjadi punca kerosakan semasa.

“Jadi, kita cuba mencari kaedah, yang pertama ialah mempercepatkan pelaksanaan projek berskala besar dan memastikan jalan-jalan sementara dan sedia ada turut dibaiki demi keselesaan pengguna,” jelasnya.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) turut memaklumkan bahawa isu tersebut telah disuarakan kepada Kementerian Kerja Raya di peringkat Persekutuan bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap masalah jalan raya Persekutuan di kawasan Sepanggar.

“Insya-Allah, isu ini akan kita selesaikan secara berperingkat demi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya,” tambahnya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama