Arthur Joseph Kurup dilantik Pengerusi BN Sabah

Arthur Joseph Kurup

KOTA KINABALU: Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) bersetuju melantik Datuk Seri Arthur Joseph Kurup sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Barisan Nasional Negeri Sabah, bagi memperkukuh penyelarasan serta kesiapsiagaan parti di negeri itu.

Keputusan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di sebuah hotel di Kota Kinabalu hari ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Ahmad Zahid turut mengumumkan pelantikan Datuk Jafry Ariffin sebagai Timbalan Pengerusi manakala Datuk Haji Mohd Hasnol Ayub sebagai Setiausaha BN Sabah.

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN. Foto Facebook Ahmad Zahid Hamidi

Dalam perkembangan berkaitan, mesyuarat itu turut menerima penyertaan semula Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) sebagai parti komponen BN, selaras dengan usaha memperkukuh gabungan politik berbilang kaum di bawah satu payung perjuangan yang inklusif dan progresif.

Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada Hajiji Noor atas pelantikan Datuk Jafry Ariffin sebagai Menteri dan Datuk Seri Dr Anil Sandhu sebagai Pembantu Menteri, selain sokongan beliau terhadap BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P.187 Parlimen Kinabatangan dan N.58 Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

"BN juga sedang mempertingkatkan gerak kerja dan kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi dua Pilihan Raya Kecil tersebut, dengan memberi penekanan kepada penyelarasan jentera, strategi kempen yang berkesan serta komitmen berterusan untuk menyampaikan khidmat terbaik kepada rakyat," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama