Sabah galak usahawan tani guna media sosial, e-dagang

 

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mempergiat usaha mendigitalkan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan bagi memastikan hasil tempatan dapat dipasarkan secara lebih meluas serta meningkatkan pendapatan rakyat, khususnya di luar bandar.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), Datuk Jamawi Jaafar, berkata penggunaan teknologi digital kini menjadi teras strategi kerajaan negeri dalam memperkukuh ekonomi luar bandar dan menjamin keselamatan makanan.

Menurutnya, sektor pertanian tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada kaedah tradisional, sebaliknya perlu beralih kepada pertanian pintar, penggunaan mekanisasi serta amalan berteknologi tinggi yang lebih berdaya saing.

“Kita perlu memanfaatkan data, teknologi dan inovasi secara menyeluruh supaya hasil pertanian lebih produktif dan bernilai tinggi,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat YB Datuk Jamawi Jaafar dan Sambutan Tahun Baharu 2026 di Dewan Wisma Pertanian Sabah, hari ini.

Jamawi berkata, MAFFI merancang menubuhkan studio hijau serta platform digital khas bagi membantu pengusaha makanan mempromosikan produk mereka, selain memberi bimbingan berkaitan penggunaan media sosial dan strategi pemasaran moden termasuk e-dagang.

Beliau turut menegaskan bahawa digitalisasi bukan hanya tertumpu kepada jualan, malah menjadi medium penting dalam penyampaian ilmu kepada petani dan nelayan, khususnya di kawasan pedalaman yang memerlukan bimbingan berterusan.

“Melalui platform digital, maklumat berkaitan teknologi pertanian, ternakan dan perikanan boleh diakses secara terus tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada lawatan fizikal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan MAFFI diperuntukkan sebanyak RM559.85 juta pada tahun ini, sekali gus membuktikan komitmen serius kerajaan negeri dalam memajukan sektor pertanian sebagai antara penyumbang utama ekonomi Sabah.

Katanya, inisiatif pendigitalan itu bukan sahaja memacu pertanian pintar, malah membuka peluang kepada rakyat luar bandar menjana pendapatan tambahan, mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah serta memastikan hasil tempatan lebih bernilai di pasaran.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama