Jamawi janji suarakan isu Sabah di Kongres Parti Keadilan

 

KOTA KINABALU: Datuk Jamawi Jaafar, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), mengesahkan beliau akan menghadiri Kongres Parti Keadilan di Melaka dan menyatakan komitmennya untuk membawa isu-isu pembangunan negeri Sabah ke peringkat nasional.

Datuk Jamawi menegaskan bahawa penglibatan beliau dalam kongres itu bertujuan memastikan kepentingan rakyat Sabah, khususnya petani, nelayan dan pengusaha industri makanan, tidak terabai dalam perbincangan politik pusat.

“Mudah-mudahan dengan pelantikan ini saya akan dapat suarakan isu-isu berkenaan dengan agihan peruntukan, berkenaan dengan pembelaan masyarakat petani, peternak nelayan dalam senario politik yang bukan berteraskan kepada kebiasaan sebagai penjawat awam,” katanya ketika ditemui oleh pemberita selepas Majlis Amanat YB Datuk Haji Jamawi Jaafar Menteri Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah dan Sambutan Tahun Baharu 2026 di Dewan Wisma Pertanian Sabah, hari ini.

Beliau turut berkongsi beberapa inisiatif kementeriannya pada tahun 2026, termasuk program Kebun Dapur, pengukuhan food security, serta pendekatan lebih agresif dalam penguatkuasaan terhadap aktiviti pukat haram dan bom ikan di pesisir pantai Sabah. Menurut beliau, langkah ini adalah sebahagian daripada usaha menyokong ekonomi masyarakat luar bandar dan generasi muda dalam sektor pertanian, perikanan dan industri makanan.

“kita akan tumpukan untuk kerjasama semua agensi ini di peringkat federal dan juga negeri menjadi satu pasukan untuk meningkatkan SSL negeri Sabah,” tambahnya.

Kongres yang dijadual berlangsung di Melaka itu diharapkan menjadi platform bagi pemimpin-pemimpin negeri membawa isu pembangunan tempatan ke peringkat nasional, termasuk strategi meningkatkan sumbangan sektor pertanian dalam SMJ 2.0 yang bakal dilancarkan 31 januari 2026.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama